Thursday, March 24, 2011

10 Peratus Menderita Penyakit Buah Pinggang

March 20, 2011

KUALA LUMPUR 20 Mac – Kira-kira 10 peratus rakyat negara ini dikesan menderita penyakit buah pinggang rosak, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, pesakit baru yang menjalani rawatan dialisis di negara ini didapati meningkat kepada 146 orang daripada satu juta populasi pada tahun 2009 berbanding 79 orang daripada satu juta populasi pada tahun 2000.
“Bilangan pesakit yang menjalani rawatan dialisis meningkat dari 6,689 pada tahun 2000 kepada 21,159 orang pada tahun 2009,” katanya melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Azmi Shapie pada Hari Buah Pinggang Sedunia 2011 di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden Kumpulan Sokongan Bagi Pesakit Buah Pinggang, Chuah Seong Ban.
Tiong Lai berkata, kira-kira 58 peratus daripada pesakit buah pinggang tersebut didapati turut mengidap penyakit kencing manis dan lapan peratus lagi menderita penyakit darah tinggi.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan turut mendapati kira-kira 34 peratus daripada pesakit yang menjalani rawatan dialisis telah meninggal dunia pada tahun 2009 akibat penyakit jantung.
Justeru, katanya, pihaknya kini berhasrat untuk meningkatkan tempoh Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi mengenai penyakit itu daripada 10 tahun sekali kepada 4 tahun sekali.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan mahu melihat perkembangan penyakit itu di negara ini dan berusaha mencari jalan untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menjalani gaya hidup yang sihat dan cergas.
Sementara itu, Seong Ban pula berkata, pihaknya menubuhkan Kumpulan Sokongan Bagi Pesakit Buah Pinggang bertujuan memberi semangat kepada mereka yang menderita penyakit buah pinggang.
Menurutnya, kumpulan tersebut mengadakan pelbagai aktiviti termasuk bengkel kesihatan dan demonstrasi diet kepada pesakit buah pinggang di negara ini dengan dana yang diperoleh daripada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia
“Ramai pesakit akan hilang keyakinan diri selepas mendapat tahu penyakit yang dialami tersebut dan kami mahu memberi semangat kepada pesakit supaya terus menjalani kehidupan yang normal,’ jelasnya

No comments:

Post a Comment